Kucing mempunyai naluri dan tingkah laku yang perlu diraikan. Kita bukan sekadar tahu bahkan memahami dan menerima seadanya. Berburu, bermain, melompat, mencakar, memanjat, ingin tahu, dan segala macam tabiat kucing. Tentu saja, kucing berkehendakkan makanan yang baik nutrisinya, air bersih dan tempat untuk berhajat.
Dari segi emosi kucing pastinya mendapat banyak kelebihan dan manfaat sentuhan dan kasih sayang dari tuannya. Jauh beza dengan kucing-kucing terbiar di lorong-lorong dan jalan. Itupun kalau tuannya memberikan perhatian yang sewajarnya. Kalau setakat pelihara tapi tak tahu makan minumnya, kencing beraknya memang tak beza mana pun.
Walaubagaimanapun harus diingat, kucing juga memerlukan privasi, masa untuk dirinya sendiri. Jika kita hanya menyangka yang manusia sahaja memerlukannya, nyata itu sangkaan yang meleset sama sekali. Justeru, berpada-pada dan berhati-hatilah.
Rumah yang selamat
Apa pun jenis rumah yang anda diami, pastikan persekitaran di dalam dan di halaman rumah anda selamat daripada benda-benda yang memudaratkan kucing bahkan mampu membunuhnya.
Beg plastik, racun serangga, sabun basuh, bahan peluntur, minyak, cat, kerosin, pengilat kasut, deadorine, ubat-ubatan, shampoo kelemumur dan banyak lagi. Saya sekadar menyebutkan beberapa sahaja. Selebihnya, adalah lebih baik untuk anda mencari sendiri maklumatnya dengan bertanya kepada pegawai veterinar ataupun di internet.
Menjaga kucing nampak mudah, tapi sebenarnya ia juga memerlukan perhatian yang serius tanpa terlepas pandang hal yang dirasa remeh temeh.
Keperluan asas kucing
Makanan berkualiti: Jenama-jenama makanan kucing yang berkualiti saya kira tidaklah semahal mana. Ia mampu dibeli dan sangat berbaloi. Antaranya Royal Canin, Science Plan dan Blackwood.
Tips: Label pada bungkusan adalah sangat penting. Kebiasaannya kandungan paling banyak dalam ramuan akan dicacatkan terdahulu diikuti yang paling sedikit. Disebabkan kucing adalah haiwan karnivor maka fahamlah bahawa ia memerlukan sumber protein terbanyak daripada daging. Bukan jagung! Maka carilah yang kandungan protein yang tepat untuk si comel anda.
Air bersih: Diperlukan 24/7. Sesetengah pegawai veterinar mensyorkan air bertapis.
Litter box bersih: Tempatkan di ruang yang mudah untuk kucing cam dan selesa. Jangan nak main sorok-sorok pulak. Jenuh kucing tu nanti.
Scratching post
Amat diperlukan. Kucing sangat perlu mencakar. Mencakar adalah aktiviti harian kucing untuk menghilangkan tekanan. Memang fitnah kucing, jadi tak perlu merungut. Kalau tak mahu perabot anda menjadi sasaran, maka jangan segan-segan sediakan scratching post untuknya. Letakkan ditempat-tempat yang kucing biasa mencakar kukunya. Sekiranya si comel menggunakannya buat kali pertama, ringankan tangan berikan reward, insyaAllah kerja anda bertambah senang nanti.
Kalau anda berkemampuan, belilah cat tree. Sejenis perabot yang khas untuk kucing. Bukan setakat tempat untuk mencakar, lebih dari itu ia juga berfungsi sebagai tempat memanjat, bermain dan melompat. Bab ini kena labur duit lebih sikitlah.
Yang paling penting - Anda!
Bermainlah dengan si comel anda setiap hari. Ia penting untuk kecergasan fizikal dan emosinya. Permainan yang hidup lebih disukai si kucing dan pastinya andalah teraju utama itu. Hanya anda mampu membuatkan ia berlari, mengejar dan menyambar dengan penuh semangat. Jangan buli pulak kucing tu. Bagilah muka sikit. Sian si comel anda kalau asyik menyejar tak dapat-dapat. Ambillah sedikit masa untuk memanjakan kucing anda dengan tidur bersamanya.
Setelah semua anda telah usahakan, saya pasti ikatan yang terbina antara anda dan si comel akan lebih kuat dan sangat dalam.
Usahakanlah! Anda mampu mengubahnya.